Tahun ni umur saya bertambah satu angka lagi menjadikan saya lebih dewasa. Dulu-dulu, masa saya masih di bangku sekolah, saya selalu terfikir 'alangkah bagus nya kalau aku dewasa...'. Time tu rasa tak sabar nak dewasa. Time tu jugak daya pemikiran banyak bergantung kepada logik akal semata-mata. Logik akal waktu tu pulak terbatas dek pengetahuan yang cetek. Biasanya, sumber pengetahuan tu datang dari drama-drama tibi yang ditonton tak lupa juga dari perbualan dengan rakan-rakan sekolah time waktu rehat tengah hari. Pada usia tu, kerja sekolah dan ujian pertengahan tahun, dilihat perkara yang amat annoying dan kira paling susah la time tu. Sampai tercetus rasa nak cepat-cepat dewasa. Konon-konon bila dah dewasa, tak payah susah-susah nak ambik peperiksaan lagi. Punye naif.
Pada saya, definisi hidup berubah-ubah sejajar dengan fasa umur kita. Atau dalam bahasa matematiknya, definisi hidup berkadar langsung dengan usia. Oh ya, hari ni saya nak guna 'saya-awak'.
Masa saya masih baby, 'hidup' ni pada saya adalah tidur, bangun, nangis dan menyusu. Bila saya naik darjah satu, 'hidup' ialah dengar cakap mak ayah, dan pegi sekolah. Bila saya meningkat remaja, 'life' is to have a girlfren so that you can show to others yang kononnya macam "weh! aku ada girlfren la! so aku dah complete syarat untuk jadi remaja!" Dan akhir sekali, bila dah menjelang dewasa ni, aku rasa hidup ni ialah belajar, kerja carik duit, kawen dan akhirat...
Bila duduk-duduk sendirian, kekadang saya terfikir juga "hurmm... sepanjang dua puluh lima tahun kehidupan aku atas muka bumi ni, apa je yang aku dah buat? rasa macam banyak abis dek main je." Jadi, aku capai pen dan kertas.. Eh silap! Saya. Jadi, saya capai pen dan kertas. Cuba menconteng sambil mengingat semula apa yang saya dah capai sepanjang hidup saya.
Saya ingat lagi, waktu kecik-kecik dulu, saya cukup tak berani nak menggoreng telur. Saya takut minyak panas tu terpercik kene muka saya. Awak perasan tak kalau kita goreng ayam ke, goreng ikan ke, minyak dia mesti macam 'bedeceeyyyyy!!!' pastu melantun-lantun ke muka kita?? macam wadafak je kan? Jadi, saya mengambil inisiatif menahan minyak-minyak tu dengan menggunakan tudung periuk sebagai perisai.
Emak saya kalau ke dapur, beristighfar panjang dia sambil urut-urut dada. "Astaghfirullah... ni hape mende goreng telur macam nak gi perang ni??!"
Tapi hari ni tak lagi. :) Saya dah pandai goreng telur! Sikit je minyak yang melantun-lantun tu, Bukan kah itu satu kemajuan ? Meh saya ajar awak. Kalau awak taknak minyak tu melantun-lantun, awak letak la telur tu secara slow and steady. Baru la minyak die tak melompat.
************
Lepas tu, saya ingat lagi waktu kecik-kecik dulu saya tak pandai berenang sangat. Mandi lombong tu boleh dikatakan tiap-tiap hari tapi bodoh berenang tu tetap di tahap tu juga. Masa berenang tu, wah muka bukan main lagi. Macam gaya berenang nak masuk pertandingan.
Tapi yang sebenarnya, kaki dekat dalam air tu mengayuh atas tanah. Tangan je yang eksyen konon-konon macam berenang sangat. Hurmm.. boleh tahan bebal juga rasanya.
Tapi hari ni tidak lagi! :) saya dah pandai berenang sikit-sikit. Alah, boleh la kalau setakat nak berenang dalam pool sekangkang kera tu. Jadi, bukan kah itu satu kemajuan?
************
Waktu saya kecik-kecik dulu, saya cukup liat mandi pagi. Saya menyampah dengan air sejuk tu. Selalu buat saya selesema. Jadi, emak akan bangun seawal lima pagi semata-mata nak jerangkan air panas untuk buat mandi saya. Bukan amik air panas curah atas saya! mati lah saya kalau begitu. Maksud saya, emak campurkan air panas sebaldi bersama-sama dengan air kolah. Jadi suhu die kire suam-suam kuku la. Time tu mungkin keluarga kami tak berapa nak ada duit sangat untuk beli water heater. Jadi, terpaksa la guna cara manual tu.
Lepas balik dari jepun, saya guna duit sendiri ajak mak ayah pegi Giant carik alat pemanas air. Saya ingat lagi time tu harga pemanas air tu dalam dua ratus lebih. Saya beli guna duit sendiri sebab dalam rumah tu memang saya sorang je tak boleh mandi pagi. Lepas dah beli, saya call pak cik apa ntah nama dia. Pakcik tu keje die pasang wiring. Selepas mengupah pakcik tu rm50, maka bilik air saya sudah siap di install pemanas air!
Panas yang saya sangka sampai ke petang, rupanya ujan di tengahari. Air panas yang keluar tu laju sikit je dari air mata anak dara putus cinta. macam cilake. dah tu, die punye air panas tak boleh nak control. mungkin reostat die rosak. mana taknya, baru pusing tombol nombor satu, panasnya macam boleh rebus telur! sejak tu, keluarga saya buat maggi guna pemanas air tu. ok, itu saya tipu.
Tapi apa pun, dari cara manual ke cara automatik, bukan kah itu juga satu kemajuan?
************
Dulu masa di bangku sekolah..
Kejap! kenapa mesti bangku? Dari dulu lagi saya tertanya-tanya. Mengapa mesti bangku dan sekolah dijadikan satu frasa? kenapa tak 'meja sekolah'? mungkin kah sebab bunyi nya yang tak berapa nak pergi?
Ok. takpe lah. Saya teruskan cerita saya.
Dulu masa di bangku sekolah, saya sering dikecil hati kan oleh pakcik-pakcik yang semayang jemaah di surau. Tiap kali saya sembahyang jemaah bersama-sama mereka, pakcik-pakcik tu slalu tak bagi saya semayang satu saf dengan mereka. Diorang kata, "belum sunat gi smayang blakang ya?"
Habah dia ngajar. Aku da sunat kot time tu! -_-"
Haa kan?! kan aku dah terkeluar 'aku'.
Bila muhasabah diri balik, baru saya sedar. Masa tu saya tak berapa nak tinggi sangat. Maklum la budak lelaki lambat sikit tingginya..
Jadi, hari ni tinggi saya dah mencecah 169 sentimeter. Walaupun tak berapa nak tinggi, tapi dapat pegang pemegang gantung-gantung dalam tren tu kire ok la tu. Ye dak? Bukan kah ini satu kemajuan?
************
Sebenarnya banyak lagi kemajuan yang dah saya capai dalam hidup ni. Contoh lain, saya dah boleh makan ikan sikit-sikit. Walhal dulu saya anti gile dengan ikan. Dah la busuk, pastu bile dah sejuk sikit, lembik macam hape je. Mujur siakap tiga rasa dah mengubah persepsi hidup saya. Bukan kah tu satu kemajuan?
Cerita ayah sewaktu di zaman dia tentera dulu, perang sana sini. Masa zaman penjajah, nak keluar rumah pun takut-takut. Tapi sekarang kita dah merdeka. Dah boleh perintah negara sendiri. Nak keluar ke mana-mana pun takde hal. Aman dan sentosa. Jadi, bukan kah ini satu kemajuan? Kenapa mesti kita nak cari titik perbalahan? Bukan kah ini negara kita? Negara anak cucu saya. Dan negara anak cucu awak-awak juga?
Kadang-kadang saya fikir, usah lah kita cemburu kejayaan orang. Usah kita dongak ke langit hentak-hentak kaki tangisi kenapa aku tak ke bulan.. Sebaliknya kita usaha lagi supaya ada kemajuan. Kalau tak ke bulan pun tak mengapa. Boleh jadi kita ke bintang? :)
Sekian karangan saya pada hari ini.