Mukadimah Sebuah Kesepian

Tiga empat bulan yang lepas, di satu pagi yang damai, adalah satu hari tu guwa duduk sibuk menaip entri baru untuk di muat naik  ke laman blog guwa. Masih segar di ingatan guwa pada waktu tu suasana amat tenang sekali. Tiada bunyi kereta. Tiada bunyi anak menangis. Tiada bunyi ayam berkokok. Tiada! Barangkali ayam pun kesiangan hari tu. Jarum jam di dinding berdetik nak tak nak sahaja. Bunyi detiknya pun segan silu. Pergerakan jarumnya guwa rasakan macam slow bebenar. Seolah-olah jam di dinding itu tak ikhlas untuk menjadi sebuah jam. Sampai satu tahap guwa rasa macam nak je maki "Kalau tak mahu berdetik, tak usah lah jadi jam!". Tapi guwa tidak lah segila itu untuk memaki sebuah jam yang tak mahu melawan.

Suasana yang tenang pagi tu guwa match kan lagi dengan secawan nescafe o panas di sisi meja guwa. Dengan harapan moga-moga bunyi hirupan nescafe tu nanti dapatlah memecah kebuntuan sunyi guwa. "Slurrrppp..arhhhh...." Lebih kurang begitu la bunyik dia konon-konon. 

Jari jemari guwa ligat menaip. Entri yang baru ni mesti guwa muat naikkan secepat yang mungkin. Budak-budak di facebook dah bising "abang zack! bile nak update!". Ada juga yang jenis like-a-boss dok tulis "woi zack! cepat la update!". Cara tulisnya tu macam la guwa dibayar dua ribu sebulan untuk menulis blog. Pui.

Sedang guwa leka menaip, guwa didatangi seekor kucing peliharaan keluarga guwa. Perlahan-lahan kucing guwa memanjat kaki guwa dan akhirnya duduk bersimpuh di riba guwa. Nak guwa hulurkan ikan, tiada ikan di sisi guwa ketika itu. Nak dijamu dengan nescafe, kucing guwa tak minum nescafe. Pahit katanya. Jadi guwa abaikan perihal kucing guwa tu sambil terus menaip. 

Mungkin dek terlalu jakun melihat jari-jari guwa berkeletak keletuk menaip di keyboard laptop, kucing guwa mula memberi reaksi entah hapa-hapa. Dihulurkan jejari kucingnya ke arah keyboard guwa seolah-olah mahu memberitahu guwa yang dia juga pandai menaip. Sekali dua guwa sabar lagi. Masuk kali ketiga dia tekan butang 'spacebar', guwa dah mula tak sabar. Lantas guwa angkat kucing tersebut dan letakkan beliau di bawah kerusi guwa. Aman sikit hidup guwa. Boleh lah guwa menaip dengan lancar.

Tapi aman yang guwa sangka hingga ke petang, rupanya huru hara di tengah hari. Kucing guwa tiba-tiba melompat ke meja guwa lantas tersadung cawan nescafe. Habis nescafe guwa tertumpah di keyboard laptop. Guwa mula rasa nak marah. Tapi perasaan risau ke laptop guwa lebih berat mengatasi perasaan marah guwa ke kucing guwa. 

Sejurus lepas guwa lap nescafe tumpah tadi dengan tshirt buruk, guwa mula toleh ke kiri dan kanan mencari kelibat kucing untuk guwa beri sedikit pelajaran. Tapi yang tinggal cuma guwa dan cawan nescafe. Dari jauh kelihatan kucing guwa tersenyum sambil tutup mulut dengan tangan, mata pejam. Cilake. Dalam kepala guwa dah takde benda lain. Menu tengahari guwa hari tu pasti 'kucing masak kicap!'. Ah guwa tak kira!

"Tunggu la nasib kau! Dasar kucing!." Bentak guwa dalam hati sambil mula menyambung pekerjaan menaip guwa tadi.

keletak keletak keletak..

keletak keletak keletak!

Tiba-tiba keyboard yang guwa taip mula tak menjalankan tugasnya sebagai keyboard.

Eh, ini dah double panas!

Guwa dah angin.

"KUCINGGGGGGGG!!!!"

****************

Begitu lah flashback guwa. 

Sebab tu la guwa dah lama tak update. 

Keh keh keh..


------------------------------------
p/s : tajuk entri tak boleh blah.

Vitagen dan sahabatku

Masa kekecik dulu, guwa empat beradik cukup berhantu dengan vitagen. Paling guwa suka, vitagen perisa oren dengan anggur. Sedap weh. Masam-masam lemak macam tu. 





Zaman tu, vitagen tengah up. Takde saingan sangat dari kampeni lain. Koka-kola buat hal koka-kola. Takde kaitan. Yakult? Yakult pun belum sampai ke tanah melayu time tu. 


Fenomena vitagen menggila sehinggakan jadi sebutan dari generasi ke generasi yang lain. Dari sekecik-kecik budak sampai la ke orang tua, masing-masing jadikan vitagen sebagai makanan ruji. Sehari tak dapat vitagen, boleh sengal-sengal sendi dibuatnya. Sistem penghadaman boleh jadi kacau. Silap-silap boleh dapat sakit gout. Ok cukup. Takde la macam tu sangat. Guwa acah je. Yang lu orang beriya-iya kerut dahi tarik muka serius benar ni apahal?

Ok, sambung cerita.


Begini flashback guwa.

Masa zaman guwa dulu-dulu, vitagen ni satu minuman yang boleh kata disyor kan oleh kerajaan juga lah sebab dia bagus untuk usus. Especially bagi peringkat bebudak yang baru nak membesar. Jadi, setiap tahun lori vitagen akan datang ke sekolah-sekolah untuk menjual vitagen. 

Sehari sebelum lori vitagen tu datang ke sekolah, biasanya cikgu-cikgu akan edarkan satu kertas besar saiz tapak tangan kalau tak silap guwa. Dalam kertas tu ada senarai harga vitagen dan berapa banyak yang lu orang nak beli nanti. Kira macam 'order form' la bak kata omputih. Zaman skarang ni guwa tak sure sistem ni ada lagi ke tak. Cikgu-cikgu lepas habis baca ni mungkin boleh jawab.





Tujuan kertas tu diedarkan awal bukannya apa. Just nak bagi masa untuk bebudak balik rumah ngepau duit mak bapak memasing. Bebudak kecik la katakan. Takkan mintak duit beli vitagen pun mak ayah tak kasi? ye dak? Kalau mintak duit beli malajah Mangga ke memang la tak dapat. Ini vitagen! Minuman susu kultur yang bagus untuk usus! Com'on dad! 

Tapi...

Berbeza pula dengan keluarga guwa. Mak ayah guwa jenis tak manja kan anak-anak sangat. Dari kecik guwa diajar untuk usaha dapat kan sendiri apa yang guwa nak. Setakat niat nak mintak duit beli vitagen tu memang boleh lupa kan je kot... (kesat air mata). Takkan dapat punye. 





Biasanya, ayat yang paling standard mak guwa akan bagi - "kalau la mak ni cop duit, jangankan vitagen sebotol, satu kampeni vitagen tu mak belikan untuk kau! siap dengan pekerja-pekerja sekali!"

Jadi, dengan perasaan hampa, guwa teruskan juga hidup guwa hari tu. Biar lah usus guwa reput dimamah bakteria. Guwa rela! Asalkan mak ayah guwa cukup makan pakai nya. Eh, tetiba. 

Ok. Sesampainya di sekolah, guru kelas guwa buat announcement. Time tu bebudak dah standby dengan order list memasing. Ada yang beli 5 botol, ada yang beli sepuluh, ada yang beli dua belas, dan tak kurang juga yang beli dua puluh botol. Jenis gayat macam tak penah jumpa vitagen.





Guwa pula hanya ada tujuh posen ngam-ngam hari tu. Itu pun duit belanja sekolah. Cukup-cukup untuk beli sebotol vitagen perisa oren.





Karang kalau guwa tak keluar masa cikgu buat announcement, serba salah juga. Mana taknya, semua classmates pakat-pakat beli, guwa sorang je yang tak beli. Nanti mesti cikgu tanya macam-macam. Tapi kang kalau guwa beli sebotol je vitagen, mesti kengkawan lain ejek guwa, Brader lori vitagen pun silap-silap ari bulan tak nak jual ke guwa. Jadi, moral guwa jadi down sangat-sangat. Nak menitik air mata rasanya. Sudahnya guwa keluar juga beratur ke lori vitagen dengan perasaan bercampur baur antara sedih dan hiba.





Tiba-tiba, sedang guwa bersedih, mood sedih guwa itu dimatikan oleh sesuatu. Bahu guwa terasa dicuit orang.






Guwa menoleh dan guwa dapat lihat kawan baik guwa datang sambil tersenyum. 


Dia tanya guwa kenapa muka guwa sedih.


Guwa cakap la guwa malu sebab guwa beli satu je vitagen. 


Sahril kata dia nak beli sepuluh. Jadi, untuk tutup aib guwa dan bagi guwa gembira, Sahril potong tulisan 10 pada kertas order dia gantikan jadi 6 botol. Atas kertas guwa pula, Saharil potong angka 1, gantikan dengan 5. Lepas tu, dia hulur duit rm dua ringgit lapan posen pada guwa.




"Sekarang kau dah tak payah sedih dah. Kita sama-sama beli banyak. Shhh.. ini rahsia kita! "


ujar Sahril sambil sengih ke guwa.


"Dah. senyum la."


ujar Sahril lagi.


"Nanti karang lepas sekolah aku bagi balik kat kau ok?" -balas guwa perlahan dengan suara tersekat-sekat tahan sebak.


"Ok!"


Sahril senyum lagi sambil tolak guwa ke depan brader vitagen.






Hari tu guwa belajar satu lagi benda berharga dalam hidup.


"Kawan yang baik ialah kawan yang datang pada kau bila kau susah. Dan kata pada kau 'jangan risau. semuanya akan ok. aku kan ada? "


Masuk darjah tiga, Sahril pindah skolah.


Sampai hari ni guwa lost contact dengan dia.


Sahril. Kalau aku jumpa kau nanti, aku blanja kau vitagen ok?! Kalau tak jumpa kat dunia, kita jumpa kat 'sana' nanti. Jangan risau. Tuhan dah record semua nye! :)

**********


p/s :



"Each of us is a star that shines with the rest. Sometimes we twinkle alone but whenever you feel like you’re about to lose your own sparkle, don’t worry, i’m here to add a glow."



Related Posts with Thumbnails